GALERI ILMU

Celik Fardu Ain Sokong Tugas Ibu

Pengetahuan ilmu fardu ain merupakan kewajipan ke atas setiap mukallaf termasuklah golongan wanita. Lebih-lebih lagi yang bergelar ibu. Ibu-ibu perlu melengkapkan dirinya dengan ilmu-ilmu fardu ain agar kehidupan seharian diri dan keluarganya diredhai Allah S.W.T. Imam al-Ghazali dalam kitab masyhurnya Ihya’ Ulumuddin mentakrifkan ilmu fardu ain sebagai ilmu tentang cara amal perbuatan yang wajib. Orang yang mengetahui ilmu yang wajib dan waktu wajibnya, bererti dia sudah mengetahui ilmu fardu ain.

Perlu diambil perhatian bahawa sesetengah amalan fardu ain itu berbeza perlaksanaannya antara lelaki dan wanita. Contohnya sebahagian cara solat lelaki tidak sama dengan cara solat wanita seperti kedudukan tangan sewaktu sujud di mana tangan wanita mestilah dirapatkan ke badan. Begitu juga dengan penutupan aurat di mana aurat wanita adalah seluruh anggota badannya kecuali muka dan tapak tangan, sedangkan aurat lelaki di antara pusat dan lutut.

Perbezaan-perbezaan ini menuntut wanita mencari ilmu pengetahuan fardu ain secara lebih mendalam bagi memastikan amalan yang dikerjakan itu sah dan diterima Allah S.W.T.

wanita-solehah

Pentingnya Fardu Ain Bagi Wanita

Terdapat beberapa sebab mengapa ilmu fardu ain amat penting dalam kehidupan wanita terutama yang bergelar ibu.

Antaranya:

1. Tidak Dibelenggu Kejahilan

Wanita hari ini perlu keluar dari belenggu kejahilan lantaran status orang yang jahil begitu hina di sisi Allah S.W.T. Firman-Nya bermaksud: “Adakah sama antara orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui?” (Az-Zumar: 9)

Orang yang jahil tidak berpeluang merasai kebahagiaan sebenar di dalam hidupnya. Bagaimana mungkin baginya menghargai nikmat Allah S.W.T. sedangkan dia tidak tahu apa itu nikmat. Bagaimana pula dia ingin menjadi hamba Allah S.W.T. yang taat dan mengajak anak-anaknya taat kepada Allah sedangkan dia tidak tahu apa itu ibadah.

Orang jahil tidak akan mendapat hidayah Allah S.W.T. sama ada untuk melakukan perkara-perkara yang disyariatkan atau perkara-perkara yang berhubung secara langsung dengan kehidupan. Ibnu Qayyim memberi peringatan tentang bahayanya sifat jahil, “Kecacatan dalam hati adalah berpunca daripada hati yang dipenuhi kejahilan dan kezaliman.”

2. Prasyarat Amal Kebajikan Diterima Allah

Wanita hari ini perlu sedar kewajipan mempelajari ilmu fardu ain supaya setiap amalan kebajikan diterima Allah S.W.T. Alangkah ruginya seorang wanita yang mengerjakan solat sedangkan auratnya tidak sempurna ditutup yang membawa kepada tidak sahnya solat. Bayangkanlah jika setiap amalan yang dilakukan, tanpa ilmu dan tidak memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan syariat tentulah amalan itu sia-sia.Sekiranya amalannya tidak diterima Allah S.W.T., maka:

a) Jiwanya sentiasa resah gelisah
Keresahan hati ini berpunca dari hubungan yang jauh dari keredhaan Allah S.W.T. Orang yang ditimpa keresahan sering merasakan jiwanya kekosongan, cemas tak tentu pasal, murung tanpa sebab, sedih dan perasaan yang tidak menentu yang akhirnya bukan sahaja mendatangkan kemudaratan kepada tubuh badan tetapi turut menjejaskan kesihatan mental. Kehidupan sehariannya tidak berjalan lancar serta boleh menimbulkan masalah kepada keluarga, rakan sekerja dan masyarakat di sekelilingnya.

b) Hatinya menjadi keras dan mati
Individu yang amalannya tidak diterima Allah S.W.T. akan menjadi keras dan mati hatinya malah berani melakukan dosa. Mereka tidak dapat melihat dosa yang dilakukan sebagai satu kesalahan. Oleh itu mereka tidak bertaubat dan kesan tidak bertaubat, sudah pasti Allah S.W.T. akan menutup pintu hatinya. Menurut hadis, bila seorang Mukmin itu melakukan satu dosa maka satu titik hitam akan mengotori hatinya tetapi jika dia bertaubat dan memohon keampunan Allah, hatinya akan menjadi bersih. Sekiranya dia menambah dosa maka hatinya terus bertambah hitam sehingga diselubungi kegelapan.

3. Memudahkan Tugas Membimbing Anak

Ibu wajib mengetahui tentang solat, haid, nifas, membaca al-Quran dan sebagainya supaya dapat membimbing anak-anak menjadi insan soleh atau solehah. Sebagai contoh jika anak-anak perempuan didatangi haid, ibu perlu menerangkan tentang larangan-larangan sewaktu haid seperti dilarang membaca, menyentuh dan memegang al-Quran, berpuasa, solat dan sebagainya.

Ibu-ibu juga wajib menjelaskan kepada anak-anak perempuan mereka kewajipan mandi hadas selepas suci daripada haid. Sekiranya ibu-ibu sendiri tidak mengetahui perkara fardu ain begini, bagaimana dia ingin mengajarkan anaknya? Bahkan ada ibu-ibu yang tidak tahu haram berpuasa sewaktu kedatangan haid.

4. Tahu Membezakan Halal Haram

Wanita yang mempunyai pengetahuan ilmu fardu ain yang sempurna tahu membezakan antara perkara yang halal dan haram. Kejahilan tentang perkara halal dan haram akan menyebabkan individu itu lebih kurang sama sahaja dengan orang-orang yang tidak beriman.

Dalam Islam, peraturan halal dan haram diterangkan dengan begitu jelas sekali. Dijelaskan dalam sebuah hadis bahawa yang halal dan haram itu nyata, dan di antara kedua-duanya ada perkara yang kesamaran (syubhat), yang tidak diketahui oleh kebanyakan orang. Sesiapa yang memelihara dirinya daripada segala yang samar, sesungguhnya ia memelihara agama dan kehormatannya dan sesiapa yang jatuh ke dalam perkara samar, jatuhlah ia ke dalam yang haram.

Dalam kehidupan seharian seorang wanita tidak kira sama ada sebagai remaja, dewasa, ibu, mak cik, nenek dan sebagainya, selagi dia seorang Muslimah, dia tidak akan terlepas daripada peraturan halal dan haram yang ditetapkan oleh Allah S.W.T. Sebagai contoh, seorang wanita perlu tahu perkara-perkara berkaitan nikah. Siapakah walinya? Siapakah lelaki-lelaki yang haram dikahwininya? Apakah tanggungjawabnya setelah bergelar isteri dan ibu?

Banyak lagi persoalan yang memerlukan jawapan dan jawapan-jawapan tersebut hanya diperolehi menerusi proses belajar dan mencari ilmu pengetahuan berkaitan fardu ain dan fardu kifayah.

5. Untuk Mendapat Redha Allah

Keredhaan Allah S.W.T. hanya akan diperolehi oleh orang-orang yang beriman dan bertakwa. Firman Allah: “Wahai orang-orang yang beriman jika kamu bertakwa kepada Allah S.W.T. nescaya Dia mengadakan bagi kamu petunjuk yang membezakan antara yang benar dengan yang salah dan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu dan Allah S.W.T. sememangnya mempunyai limpah kurnia yang besar.” (Al-Anfal: 29)

Bertakwa bermaksud menjunjung segala perintah dan menjauhi segala larangan Allah S.W.T. Hakikat takwa pada pancaindera ialah meninggalkan segala maksiat manakala takwa pada hati ialah dengan mengikhlaskan hati di dalam beramal.

Seseorang yang jahil tentang ilmu fardu ain tentulah tidak tahu cara-cara ingin menjunjung perintah Allah S.W.T. ataupun menjauhi segala larangan-Nya. Malah dia juga tidak tahu yang manakah perintah dan yang mana pula larangan Allah. Lebih merbahaya lagi jika perintah Allah itu disangkanya larangan dan larangan itu disangkanya pula perintah Allah. Individu begini terlalu merbahaya kepada agama Islam itu sendiri malah ditakuti kesesatannya itu turut menyesat dan mengelirukan orang lain. Jika dia seorang ibu, dia mungkin menyesat dan mengelirukan anak-anaknya.

Oleh itu bagi para Muslimah yang sudah atau bakal bergelar ibu, tuntutan melengkapkan diri dengan ilmu fardu ain jangan diperkecilkan. Tidak akan sempurna tanggungjawab sebagai ibu tanpa asas ilmu fardu ain yang mantap. Kalaupun dapat membina kehidupan yang nampak bahagia di dunia, ibu ini tidak ada suluhan ilmu untuk menyelamatkan anak-anaknya dari api neraka dan menempah kehidupan bahagia di akhirat.

Oleh: Salasiah Hanin Hamjah Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan, UKM

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • Twitter
  • RSS


PROFIL SEKOLAH AGAMA TAMAN SRI LAMBAK
1.ALAMAT : SEKOLAH AGAMA TAMAN SRI LAMBAK
JALAN LINGKARAN, TAMAN SRI LAMBAK,86000,KLUANG
JOHOR DARUL TA'ZIM
2.NO TELEFON/ FAKSIMILI : 07-7891169
3.TARIKH DITUBUHKAN : 01 JANAURI 1997
4.NO.PENDAFTARAN : SAKNJ/KLG/0005016
5.OBJEKTIF SEKOLAH :
  • Mengurus dan mengawal hal ehwal murid yang berkaitan dengan maklumat peribadi.
  • Mendidikdan mengasuh murid-murid menjadi seorang yang berilmu,beriman dan bertaqwa.
  • Memastikan murid-murid mengikuti segala peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah.
  • Mengawal tingkah laku murid agar hidup berlandaskan ajaran islam.
  • Mengurus dan menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh murid-murid di sekolah.
  • Merancang program-program yang membina jati diri sebagai umat islam yang berkualiti.
  • Memberi khidmat nasihat dan motivasi sebagai peransang kepada murid untuk belajar.

6. MOTTO SEKOLAH : BERILMU, BERAMAL DAN BERTAQWA

7.VISI SEKOLAH : MEMBENTUK DAN MELAHIRKAN INSAN YANG BERILMU, BERAKHLAK DAN

BERTAQWA

8. MISI SEKOLAH : Membina kemahiran bersosial secara islam dan menyediakan asas

pembinaan diri yang mantap dan berkualiti dari aspek fardhu ain dan

fardhu kifayah berasaskan al-Quran dan as-Sunnah.

9. LATAR BELAKANG SEKOLAH

Sekolah Agama Taman Sri Lambak mula ditubuhkan pasa o1 bulan Januari 1997 yang dahulunya dibangunkan dengan hanya menyewa sebuah rumah kos rendah yang terletak di Jalan Semangat, Taman Sri Lambak Kluang.

Menyorot sejarah awal sekolah ini, era kebangkitan bermula pada zaman guru besar yang pertama iaitu Ustaah Hjh Asnah bte. Ahmad (sesi pagi) dan Usazah Rokiah binti Yusuf (sesi petang). Hanya dua orang tenaga pengajar dengan jumlah pelajar seramai 110 orang pada masa itu.

Pada bulan Januari 1999, penduduk tempatan dan KEJORA Taman Sri Lambak telah mengambil enisiatif untuk membina sebuah bangunan sekolah ( kayu) yang baru kerana jumlah murid kian bertambah iaitu seramai 160 orang dengan 4 orang tenaga pengajar.

Masa terus berlalu, jumlah murid kian hari kian bertambah, maka pada Bulan Januari 2001, warga Sekolah Agama Taman Sri Lambak telah berpindah ke Bangunan Sekolah Agama Kerajaan Johor yang baru siap dibina ketika itu.

Bermula pada tahun itu tenaga pengajar mula bertambah sejajar dengan pertambahan murid dan tampuk pemerintahan juga telah bertukar serta corak pentadbiran juga telah berubah dari masa ke semasa. Guru Besar yang ketiga ialah Ustaz Rosli bin Ahmad Rafaie dan beliau telah bertugas di Sekolah Agama Taman Sri Lambak sehingga tahun 2001.

Guru Besar seterusnya ialah Ustaz Ismail bin Hj. Mustari. Bak kata pepatah, lain hulu lain pedang, lain dahulu lain sekarang. Organisasi pentadbirannya mula mendapat idea baru seiring dengan kepesatan dunia pendidikan yang kian mencabar. Pelbagai peraturan telah dicipta, pelbagai strategi cuba diatur, pelaksanaan sentiasa disusun, hasilnya...kejayaan cemerlang sekolah dalam ko-kurikulum yang membanggakan pada waktu itu dinikmati bersama.

Guru Besar kelima ialah Ustaz Mazehan bin Musa yang telah berkhidmat di sekolah ini selama tiga tahun bermula daripada tahun 2006 hingga tahun 2009.

Hingga hari ini, Sekolah Agama Taman Sri Lambak yang berada dibawah pentadbiran guru besar yang keenam iaitu Ustazah Hjh. Asnah binti Ahmad, akan sentiasa berusaha untuk mencapai kecemerlangan dalam memastikan hasrat " S.A.T.S.L terus unggul ". Semoga warga Sekolah Agama Taman Sri Lambak akan sentiasa berganding bahu dan bersatu hati di dalam membentuk sikap, kemahiran, keperibadian dan pandangan hidup sebagai hamba Allah yang mempunyai tanggungjawab untuk membangun diri, masyarakat, alam sekitar dan Negara ke arah mencapai kebaikan di dunia dan kesejahteraan abadi di akhirat.







  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • Twitter
  • RSS